Assalamualaikum dan salam sejahtera.
ARTIKEL SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Kejayaan ke arah mempunyai perkhidmatan pengangkutan
awam yang terbaik menjelang Wawasan 2020 hanya boleh dicapai melalui
keyakinan bersama oleh semua orang.
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Azmi Abdul Aziz berkata, orang
ramai termasuk pemegang saham perlu bersedia untuk melihat pengangkutan
awam secara lebih positif dan maju dengan menunjukkan sikap lebih
bertanggungjawab.
"Kita juga perlu mempersiapkan diri untuk memastikan pengangkutan awam
tidak sama seperti apa yang telah dilihat, baru-baru ini.
"Sebelum ini, apabila kita bercakap mengenai pengangkutan awam, semua
orang berkata ia adalah tanggungjawab kerajaan...ya itu betul, tetapi
tidak bermakna kita harus menunggu peruntukan kerajaan bagi memastikan
ia terlaksana," katanya pada ceramah bertajuk 'The Rail Challenge -
Taking A City From Good To Great' di sini, semalam.
Azmi berkata Prasarana juga turut cuba memahami harapan generasi akan
datang tentang pengangkutan awam kerana mereka bakal memasuki tenaga
kerja.
"Ia adalah fenomena global yang mana harapan mereka selalunya
berbeza...Ini adalah beberapa faktor yang kami akan perhalusi lagi agar
ia lebih menarik agar pengangkutan awam pada masa depan dapat memenuhi
sasaran pasaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam
Darat (SPAD) Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata sehingga kini, 62
peratus projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) telah selesai.
"Mungkin ada isu-isu tertentu di sana sini ketika pelaksanaannya tetapi
ia mengikut seperti yang dijadualkan," katanya memberi jaminan. -
Bernama
No comments:
Post a Comment